Friday 25 May 2012

aku suker sgt statement ini .... :)

4 cadangan CUEPACS - Hargai 630,000 penjawat wanita choo@bharian.com.my 2012/05/25
-Bersalin di hospital swasta sehingga anak ketiga
-Wad kelas satu hospital kerajaan untuk bersalin anak keempat dan seterusnya
-Cuti bersalin tiga bulan gaji penuh sehingga kelahiran anak ketujuh
-Cuti tanpa rekod 14 hari diperluas bagi urusan kecemasan keluarga terdekat

 KUALA LUMPUR: CUEPACS meminta penjawat awam wanita diberi kemudahan bersalin di hospital swasta dengan cuti tiga bulan bergaji penuh sehingga kelahiran anak ketujuh berbanding lima sekarang.
Kesatuan itu mencadangkan mereka bersalin di hospital swasta yang dilantik sebagai panel oleh kerajaan hanya sehingga kelahiran ketiga dan kemudahan wad kelas pertama hospital kerajaan untuk anak berikutnya. Cadangan itu bertujuan menghargai sumbangan kira-kira 630,000 penjawat awam wanita yang meliputi 45 peratus daripada 1.4 juta kakitangan awam. Ia akan dikemukakan kepada kerajaan melalui suruhanjaya khas penambahbaikan Sistem Saraan Baru (SSM) yang ditubuhkan nanti.
Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata mereka perlu diberi kemudahan itu kerana hospital kerajaan selalu padat dan menjadi tumpuan semua peringkat rakyat serta pendatang asing. 
“Ketika ini, penjawat awam yang mendapatkan rawatan di hospital swasta perlu menanggung sendiri kos atau menggunakan polisi insurans peribadi. Kerajaan hanya menanggung sepenuhnya kos bersalin di hospital kerajaan.
 “Penjawat awam wanita juga harus diberi cuti bersalin selama tiga bulan bergaji penuh sehingga kelahiran anak ketujuh untuk menyuntik motivasi ke arah mencapai sasaran 70 juta penduduk Malaysia.
 “Kini tidak ramai yang minat menambah bilangan anak kerana beban kos sara hidup yang semakin tinggi. Jika bersalin lebih daripada lima, mereka terpaksa mengambil cuti tanpa gaji,” katanya kepada Berita Harian.
 Selain itu, CUEPACS meminta kerajaan memperluaskan cuti tanpa rekod 14 hari setahun untuk urusan kecemasan keluarga terdekat, berbanding sekarang hanya untuk urusan mewakili negara atau negeri dalam program tertentu seperti bidang sukan.
 Omar berkata, semakan mendapati penjawat awam wanita lebih cepat menghabiskan cuti tahunan berbanding lelaki atas pelbagai urusan atau masalah keluarga, terutama mereka yang terpaksa menjaga anak sendirian kerana tinggal berjauhan dengan suami.
 “Apabila cuti habis, mereka terpaksa berkorban mengambil cuti tanpa gaji bagi urusan kecemasan seperti anak sakit. Masalah ini menjadi keluhan ramai kakitangan wanita dan sering dibangkitkan dalam dialog kami.
 “Oleh itu, amat wajar cuti tanpa rekod diperluaskan kepada urusan kecemasan membabitkan keluarga terdekat seperti suami/isteri, anak, ibu bapa dan mentua dengan syarat cuti tahunan mereka sudah habis,” katanya.
 Ketika ini, kakitangan awam mendapat cuti tahunan antara 20 hingga 30 hari bergantung kepada gred perjawatan mereka.

1 comment:

duniaanita74.blogspot.com said...

mak pun suka ne nor..tapi bila tu..sempat mak ita menopos..he..he