Wednesday 30 May 2012

Salah Satu Penambahbaikan Sistem Saraan Baru Perjawatan Awam

CEUPACS minta kaji gaji pembantu tadbir
Oleh Syed Azwan Syed Ali

2012/05/30
KUALA LUMPUR: CUEPACS mencadangkan gred minimum N17 pembantu tadbir dikaji semula selain membuka ruang kenaikan pangkat golongan itu daripada gred maksimum N26 kepada gred bersepadu N42.

Cadangan itu bagi membolehkan kenaikan kerjaya dan pangkat lebih luas kepada 80,000 pembantu tadbir yang dikelompokkan dalam kumpulan sokongan kerajaan.
CUEPACS juga mencadangkan gelaran jawatan itu ditukar kepada pegawai kerani atau pegawai hemat tadbir bagi melambangkan peranan kelompok itu selaku kumpulan sokongan yang melicinkan urusan pentadbiran.
Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata cadangan itu akan dikemukakan kepada kerajaan melalui suruhanjaya khas penambahbaikan sistem saraan baru perjawatan awam yang akan ditubuhkan tidak lama lagi.
Katanya, kajian gred kelompok kakitangan kerajaan itu perlu dilakukan sejajar perubahan tuntutan tugas dan cabaran golongan itu, selain peningkatan taraf hidup rakyat.
“Cadangan sebenar (gred minimum) dibincang pada 12 hingga 14 Jun ini dalam bengkel semakan skim gred gaji penjawat awam anjuran CUEPACS di Muar, Johor.
“Cadangan dibawa kepada suruhanjaya yang akan diumumkan Perdana Menteri atau Ketua Setiausaha Negara (KSN),” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Ke-16 Kesatuan Pembantu Tadbir dan Pembantu Tadbir Rendah Pendidikan (KEPTAN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Omar berkata, kajian semula gred minimum N17 bermakna kelompok itu akan menerima kenaikan gaji pokok yang kini dibayar RM926.60 sebulan.
“Gred (minimum) jawatan jururawat juga U19, jadi (gred bagi jawatan) pembantu tadbir kerajaan juga perlu dikaji semula,” katanya.
Katanya, kenaikan gred bersepadu memberi mereka peluang kenaikan pangkat gred bersepadu yang mengambil kira pengalaman, kemahiran dan sumbangan kepada organisasi tanpa perlu merujuk kepada kelulusan akademik.
“Maknanya (bagi gred bersepadu) tak perlu ada ijazah atau diploma tetapi ambil kira pengalaman, kemahiran dan sumbangan. Namun, bukan semua boleh dapat gred ini, hanya mereka yang layak,” katanya

No comments: